Radio Nasyid.fm


Carta Nasyid.FM = jam 10.00pm,Rabu

Sunday, June 29, 2008

Kekuatan Hati...

Salam Ukhuwah...

Sejak akhir-akhir ini ana sedikit kesibukan untuk menyiapkan segala dokumen untuk memasuki Universiti Teknologi Petronas.Alhamdulillah,ana ditawarkan ke universiti ini di saat-saat akhir iaitu seminggu sebelum mendaftarkan diri di Kolej MARA Seremban.Keputusan yang telah ana buat adalah berdasarkan pendapat orang ramai dan yang lebih berpengalaman dan juga dengan bantuan Allah swt.

Ana membaca suatu karya yang menceritakan kisah Imam Al-Ghazali.Beliau menyatakan "Keraguanlah yang membawa kepada kebenaran.Barang siapa yang tidak merasa ragu,maka dia tidak memandang,Barang siapa yang tidak pernah memandang,maka dia tidak pernah melihat.Dan barang siapa yang tidak pernah melihat,maka dia akan tetap berada dalam kebutaan dan kesesatan."Ini bermakna pabila kita berfikir daripada keraguan akan membawa kita kepada kebenaran.

Kita sebenarnya haruslah memerhati diri sendiri terlebih dahulu.Sesungguhnya Allah telah menunjukkan bukti keEsaan-Nya di sekeliling kita.Cuma kita yang harus menerokai dan mencarinya agar terbentuk kukuh iman dan takwa di dalam hati.Iman pula menurut Imam Al-Ghazali terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat pertama adalah keimanan orang kebanyakan yang bersandarkan kepada taklid semata.Peringkat kedua ialah iman mutakalimin iaitu keimanan seperti para ahli kalam dan falsafah yang didasarkan kepada logikal ataupun masuk di akal.Peringkat ketiga ialah keimanana orang-orang 'arifin iaitu menyaksikan apa yang dipercayainya secara langsung.Kita haruslah berusaha untuk mencapai tahap iman di peringkat ketiga agar iman kukuh di hati dan tidak goyah apabila didatangi dengan idea-idea yang liberal.

InsyaAllah dengan keimanan yang kukuh dan kegigihan untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat,kita akan memperoleh keredhaanNya dan tetap cekal menyampaikan amar makruf dan nahi mungkar yang menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Nabi Muhammad S.A.W.

Wassalam...

Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman
dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan.
Hawa nafsu menyuruh mengelamun,berangan-angan,
tetapi akal menyuruh menimbang.
(Hamka).

Monday, June 23, 2008

Di suatu persimpangan...

Salam Ukhuwah...

Syukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurnia-Nya ana telah menerima rezeki untuk melanjutkan pelajaran ana ke suatu pusat pengajian yang ana impikan tetapi apabila dalam membuat pilihan ana harus memilihnya dengan baik.

Dalam membuat satu pilihan yang tepat perlulah mendapat pandangan dari orang yg lebih mengetahui.Ilmu yang diperoleh menjadi panduan kepada pemilihan tersebut.Kepentingan ilmu itu diutamakan kerana ilmu dapat memberikan kefahaman kepada seseorang dalam menentukan hidup.Dikatakan pengalaman adalah guru yang bermakna.Maka dengan pengalaman kita memperoleh sesuatu ilmu.Namun,kepentingan Al-Quran juga tidak boleh diabaikan.Al-Quran menyatakan jika kamu tidak mengetahui sesuatu maka tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui.Dan yang paling penting adalah beristikharah.Bertawakal kepada-Nya kerana Dia yang Maha Mengetahui apa yang baik untuk hambanya.

Pabila berlaku suatu pilihan,usahlah terburu-buru.Kita perlu melihat dari segala segi dan keyakinan kepada takdir yang telah Allah tetapkan perlulah kuat.Jika keputusan diperoleh dari rahmat Allah,InsyaAllah segala keputusan yang dibuat itu sukar menjadi penyesalan.

Kekuatan hujah seseorang adalah pada ilmunya. Dengan ilmu maka terangkatlah
martabat seseorang mahupun di mata masyarakat dan juga agama
tetapi usah riak dan takabur,kelak mebunuh diri sendiri...

Monday, June 16, 2008

Syabab(Pemuda)

Pabila Al-Quran ditinggalkan,
As-Sunnah tidak diamalkan,
Maka goyahlah iman di hati,
Nafsu terus memimpin diri,
Logik akal diikuti,
Syariat diubah sesuka hati,
Hasutan dan fitnah barat akan menguasai,
membentuk agama yang nampaknya sempurna,
akan tetapi hakikatnya rosak binasa,

Wahai pemuda harapan agama,
kenapa kamu meletakkan nafsu sebagai ketua,
sedangkan kau tahu,
Ia bakal merosakkan iman juga minda,
Tidakkah kau berfikir
anugerah Ilahi sekeliling kamu
memberi peringatan kepada kamu
terhadap yang Maha Satu.
Kenapa biarkan diri ke lembah hina?
sedangkan kamu tahu ia bakal membinasakanmu

Bangkitlah wahai syabab,
Jangan biarkan diri dibinasa
oleh kehidupan dunia semata
jangan biarkan keseronokan menguasai diri
kelalaian membawamu ke suatu tempat yang tak tentu,
Syabab,mari kita bangun,
menyedarkan semua yang lalai,
sebelum datangnya hari yang tiada taubat
Iaitu hari kiamat,
jangan biarkan yang lain leka,
apa patut dijawab jika ditanya,
apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan agama Allah?
Marilah kita bersatu,
lakukan sedaya mungkin,
Bangkit berjihad dalam apa jua bidang,
Agar kekuatan Islam kembali,
Dengan Ummah yang penuh kesedaran...

Tuesday, June 10, 2008

Tafakur dan Tasyakur

Salam ukhuwah...

Islam telah lahir untuk membimbing manusia ke jalan yang benar.Maka pelbagai bukti dan fakta telah wujud di hadapan kita bagi membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang menyeluruh dan meliputi kehidupan bukan agama semata-mata.Oleh itu,kita perlu mencari petunjuk supaya keimanan kita dan ketaqwaan kita tetap kukuh.

Antara alam sekitar dan manusia,kita saling berkaitan.Semuanya adalah makhluk Allah.Allah menciptakan makhluk-Nya tidaklah sia-sia.Semuanya ada tujuannya yang tersendiri di dunia ini. Dalam Al-Quran terdapat antara kandungannya ialah Tafakur bermaksud perenungan terhadap ciptaan Allah yang maha menakjubkan di alam semesta (dinamakan sains).Di dalam Al-Quran terdapat juga perkataan tasyakur iaitu pemanfaatan nikmat serta kurniaan Allah dengan menggunakan akal yang waras serta mematuhi batas-Nya sehingga nikmat itu bertambah(yang dinamakan orang sebagai teknologi).

Hal ini telah menunjukkan bahawa betapa pentingnya penguasaan ilmu sains dan teknologi.Allah telah memberikan kita akal untuk memikirkan kejadian di langit dan di bumi.Kejadian inilah yang memberi kita idea pembangunan ilmu sains dan teknologi dalam masyarakat di zaman globalisasi ini.Sebagai contoh,tiupan angin berasal dari perbezaan tekanan antara kawasan yang berbeza.Hal ini kita ketahui daripada ilmu sains yang telah dipelajari.Pelbagai lagi contoh yang dapat kita fikirkan di sekeliling kita yang menunjukkan bukti ke-Esa-an Allah.

Ilmu akan membawa kita kepada pembangunan ummah yang gemilang dan dapat menangkis segala ancaman dari orang bukan Islam yang merancang pelbagai strategi untuk meruntuhkan ummat Islam.Ketaqwaan kita akan bertambah jika kita menambah ilmu berkaitan yang maha Esa.Dengan ilmu,kita akan dapat berhujah dan mempertahankan kebenaran yang telah tertulis dan juga menangkis hujah-hujah sekularisme yang kini menular dalam masyarakat.Kita perlu lihat semula kepada sejarah yang terdahulu agar dapat mengambil segala pengajaran yang telah tercatat dan tidak mengulangi kesilapan lagi.

InsyaAllah,pabila penguasaan ilmu sains dan teknologi ini dikuasai oleh ummat Islam maka Kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan penindasan terhadap Umat Islam akan hilang.

Wassalam...


"Andai kota itu peradaban,rumah utamanya haruslah budaya tiang serinya
hendaklah agama dan agama itu mestilah berlandaskan tauhid"
dipetik dari novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani

Wednesday, June 4, 2008

Tazkirah

Salam Ukhuwah,
Setelah beberapa hari kesibukan melanda diri ana,kini ada mempunyai kelapangan waktu sebelum meneruskan jihad fisabilillah dalam menuntut ilmu di Kolej MARA Seremban.Alhamdulillah..

Ketika menerokai web dan blog sahabat ana terjumpa suatu pesanan ini

Saidina Umar berpesan:
– Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah.
– Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk.
– Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah.
– Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka.
– Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan.
– Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan.
– Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri.
– Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.

Pabila memikirkan pesanan ini dapat disimpulkan bahawa setiap yang kita lakukan di dunia ini ada manfaatnya cuma jika bukan di dunia,mungkin di akhirat kelak.Oleh itu,marilah sama-sama kita,ana dan antum semua,berusaha mencari ilmu bukan sahaja ilmu duniawi malah juga ilmu akhirat agar kita dapat memperbaiki kelemahan dan kesilapan kita seterusnya mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.InsyaAllah.

Wassalam...

Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa.
Agama tidak menyuruh,kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.
- HAMKA -

Terokai Ilmu Dari Al-Quran

Salam Ukhwah...

Setelah beberapa hari ana tidak sempat menulis dalam blog ini kini,Alhamdulillah,ana diberi kesempatan dan ilham untuk menulis di dalam blog ini.InsyaAllah,kesempatan waktu yang diberikan ini akan ana luangkan sebaik-baiknya.

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda supaya umatnya menuntut ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad.Hal ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu kepada seseorang khususnya dan kepada masyarakat amnya.Penerokaan ilmu ini jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dilakukan secara berkumpulan atau dalam masyarakat akan memberi manfaat kepada semua dan dapat membangunkan kualiti hidup masyarakat.Selain itu,sesebuah masyarakat akan lebih berdaya saing dan gemilang di mata dunia.

Kebanyakan ilmu yang dapat memberikan pembangunan kepada diri ini pada zaman ini ditumpukan pada ilmu sains dan teknologi.Sains adalah kajian mengenai kehidupan di dunia ini dan menunjukkan ia adalah kajian untuk meningkatkan lagi ketaqwaan seseorang kepada Allah dengan bukti yang wujud di dunia ini.Kita sebagai umat islam telah punyai panduan yang telah dikurniakan Allah untuk menjadi umat yang gemilang di dunia ini iaitu Al-Quran.Jika ilmu Al-Quran dapat dibongkar maka kita akan menjadi umat yang berjaya bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.InsyaAllah.

Oleh itu,marilah kita semua umat Islam supaya mengkaji dan mendalami segala ilmu di dunia ini agar kita dapat menaikkan Islam seperti Zaman Kegemilangan Islam dahulu.Kita tidak boleh membiarkan kita tertinggal jauh di belakang dan membiarkan sahaja umat manusia yang bukan Islam menerokai Al-Quran dan menjadi gemilang di dunia ini sehingga kita tertindas walaupun menjadi umat majoriti di dunia ini.Marilah kita berjihad agar kita sebagai umat Islam dapat menawan semula kegemilangan di dunia ini dan mendapat keredhaanNya.InsyaAllah.


Orang yang berakal itu orang yang dapat mengawal segala sifat-sifat mazmumah
- imam As-Syafie -